Umno, BN perlu pandang ke hadapan

0
2
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR: UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memandang ke hadapan demi kelangsungan parti ini, ujar Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Katanya, Wanita UMNO menyeru kepada seluruh ahli UMNO dan BN amnya serta ahli wanita khasnya untuk bersama-sama memberi kepercayaan, keyakinan dan bersolidariti dengan Presiden dan pucuk pimpinan parti dalam usaha untuk memulihkan keyakinan rakyat.

“Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang lalu merupakan suatu isyarat jelas daripada rakyat yang harus diinsafi dan dihormati oleh ahli-ahli UMNO dan BN.

Kita perlu akur untuk menerima dan menghormati mandat yang telah diberikan ini.

“Ini bukan masa yang sesuai untuk kita meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak.

Sebaliknya, kita harus mengambil iktibar dan pelajaran serta jadikan ianya sebagai titik permulaan untuk UMNO dan BN mengorak langkah bagi mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat,”katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya lagi, keputusan PRU15 juga menyaksikan tiada mana-mana gabungan parti yang berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“Alhamdulillah, kebuntuan yang berlaku dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.

“BN menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan kerajaan perpaduan yang dibentuk ini stabil demi kemakmuran rakyat dan negara,” katanya.