Sistem pembetungan siap 2024

0
9

KUCHING: Projek Sistem Pembetungan Berpusat Kuching Pakej 2 yang menelan peruntukan RM750 juta dijangka siap pada suku pertama tahun 2024.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, projek yang bermula pada 15 September 2017 itu meliputi Kampung Gita, sebahagian Jalan Matang, Jalan Tun Abdul Rahman Yaakub dan kawasan Padungan.

“Tarikh asal dijadualkan siap pada Januari 2024. Namun sehingga kini, projek ini mencapai 66 peratus siap, lewat 18 peratus daripada jadual asal susulan kekurangan tenaga kerja dan lapisan batuan bawah tanah yang sangat keras.

“Jabatan dan kontraktor sedang memantau perkembangan projek tersebut dengan teliti.

Kontraktor pelaksana digesa untuk mengurangkan kelewatan secara progresif supaya projek ini dapat disiapkan seperti yang dijadualkan pada suku pertama 2024,” katanya.

Timbalan Premier Sarawak itu berkata demikian pada sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini, Khamis.

Sementara bagi projek Sistem Pembetungan Berpusat Kuching Fasa 3, Kui Hian berkata, ia merupakan satu lagi projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM382 juta.

“Makmal penilaian nilai yang dikendalikan Unit Perancang Ekonomi Persekutuan untuk projek ini siap pada September 2022.

“Projek ini kini dalam peringkat akhir proses perolehan.

Kerja fizikal dijangka dimulakan pada suku pertama 2023,” ujarnya.

Untuk pelaksanaan Fasa 1 Sistem Pembetungan Berpusat Miri yang menelan kos RM428 juta, Dr Sim berkata, projek yang dimulakan pada 30 Mac 2017 itu melibatkan dua pakej.

“Pakej A melibatkan pemasangan rangkaian pembetung awam dan sambungan harta benda.

Pakej B melibatkan pembinaan loji rawatan kumbahan berpusat dengan modul proses rawatan kumbahan setara 50,000 penduduk.

“Pakej B siap sepenuhnya pada November 2020. Bagaimanapun, penyiapan Pakej A tertangguh berikutan keadaan bawah tanah yang teruk dengan kedalaman kira-kira 15 meter untuk bentangan kira-kira 50 meter pembetung berhampiran persimpangan Sungai Miri di kawasan Tudan.

“Jabatan kini sedang melaksanakan penyelesaian sementara supaya projek ini dapat dimulakan segera dengan menyasarkan untuk melengkapkan sistem sementara dan memulakan sambungan hartanah dalam tempoh tiga bulan akan datang,” jelasnya.

Katanya lagi, pada tahun ini, Kerajaan Persekutuan meluluskan dan memperuntukkan dana untuk memulakan Sistem Pembetungan Berpusat Miri Fasa 2 dengan nilai skim RM450 juta.

“Fasa 2 ini akan meningkatkan lagi liputan sistem pembetungan berpusat di Miri.

Jabatan kini dalam proses mendapatkan perkhidmatan perundingan yang diperlukan untuk kerja ukur dan reka bentuk.

Kerja fizikal dijadualkan bermula pada suku ketiga 2024,” tambahnya.