Sasar pelancong tiga juta

0
12
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menyasarkan untuk mencapai sasaran kedatangan tiga juta pengunjung ke Sarawak tahun hadapan.

Menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kedatangan dengan jumlah tersebut juga mampu menjana RM7.25 bilion resit pelancongan.

“Berdasarkan prestasi dan trend sejak beberapa bulan lalu, kementerian saya menyasarkan untuk mencapai tiga juta ketibaan pelancong pada 2023.

“Walaupun pelancongan antarabangsa perlahan-lahan bangkit, tetapi pelancongan domestik akan terus memacu pemulihan industri pelancongan negeri ini,” katanya pada sesi penggulungan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dun Sarawak ke-19 di sini, kelmarin.

Tambahnya, Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNWTO) menyatakan bahawa pelancongan antarabangsa dijangka meneruskan pemulihan secara berperingkat – memulihkan 65 peratus kembali ke tahap prapandemik pada 2022 dan 85 peratus pada 2023 walaupun menghadapi cabaran ekonomi dan geopolitik yang ketara.

Menurutnya, setakat Januari hingga Oktober tahun ini, ketibaan pelawat ke negeri ini meningkat sebanyak 1118.41 peratus kepada 1,378,017 berbanding tempoh yang sama pada 2021.

“Kami yakin Sarawak akan menerima anggaran 1.8 juta pengunjung menjelang akhir tahun ini sekali gus melepasi sasaran kami iaitu 1.2 juta pengunjung untuk tahun ini,” ujarnya.

Abdul Karim berkata kementeriannya dan agensi telah melaksanakan langkah jangka pendek untuk pemulihan industri pelancongan, seni dan budaya dengan sokongan dan penglibatan aktif dengan pelbagai industri pelancongan.