Rosakkan pagar rumah: Penganggur lelaki didenda RM3,000

0
15

KUCHING: Seorang penganggur lelaki berusia 27 tahun dijatuhi hukuman denda RM3,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana merosakkan pagar pemisah rumah dengan melanggar menggunakan sebuah kereta Produa Kancil dalam satu kejadian mengamuk di sebuah rumah di Kampung Semeba, 27 November lalu.

Tertuduh Vestson mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.

Mengikut pertuduhan, dia sengaja mendatangkan kerosakan pagar rumah mangsa Viviana berusia 30 tahun hingga menyebabkan kerugian RM2,000 dalam satu kejadian di rumah mangsa di Kampung Semeba, sekitar jam 9 pagi, 27 November lepas.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, pengadu merupakan kakak tertuduh melaporkan kepada pihak polis bahawa adik lelakinya telah mengamuk di dalam rumahnya dan cuba mencekik anak pengadu yang masih bayi berusia sembilan bulan.

Namun anak pengadu sempat diselamatkan oleh adik perempuan bongsu pengadu dengan menarik badan bayi terbabit. Semasa kejadian, tertuduh dalam keadaan agresif memegang senjata berupa sebilah kerambit.

Tertuduh yang masih dalam keadaan agresif kemudian masuk kedalam kereta jenis Produa Kancil memandu kenderaan tersebut lalu melanggar tembok rumah hingga menyebabkan pagar pemisah ruang hadapan mengalami kerosakan.

Punca kejadian, tertuduh dipercayai di bawah pengaruh bahan terlarang iaitu dadah.

Pada hari yang sama kejadian, tertuduh berjaya ditangkap oleh pihak polis di rumah terbabit sekitar jam 5.55 petang dan di bawa ke balai polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.