Polis buka kertas siasatan kes langgar lari 

0
13

KUCHING: Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian langgar lari yang tular membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Jalan Tun Salahudin, 30 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, pihaknya menerima laporan daripada pemandu motokar kira-kira jam 7.36 petang, hari yang sama.

Katanya, kemalangan tersebut berlaku kira-kira jam 11.40 pagi melibatkan sebuah Proton Wira dengan sebuah motosikal jenis Yamaha.

“Dalam kejadian ini, penunggang motosikal cedera ringan dan mendapat rawatan pesakit luar manakala pemandu motokar tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat serta perhatian yang menyebabkan kecederaan.

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak melebihi 12 bulan.

“Pemandu motokar yang melanggar telah disiasat oleh pihak polis dan siasatan akan dimajukan ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan selanjutnya,” jelasnya.