Permohonan gerai bazar Tahun Baharu Cina 2023 dibuka

0
11
RAKAM KENANGAN... Datuk Wee Hong Seng (tengah) merakam kenangan bersama Kr Chai Ju Loon (tiga dari kanan)
RAKAM KENANGAN… Datuk Wee Hong Seng (tengah) merakam kenangan bersama Kr Chai Ju Loon (tiga dari kanan)

KUCHING: Permohonan gerai bazar Tahun Baharu Cina 2023 di Pusat Komersial Taman Kenyalang Mall telah dibuka bermula hari ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata tarikh akhir permohonan adalah pada 16 Disember 2022 jam 4 petang.

Katanya, jualan Perayaan Tahun Baharu Cina selama 16 hari akan berlangsung dari 6 Januari hingga 23 Januari 2023.

“Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang permohonan di Kaunter 9 Pusat Khidmat Setempat MBKS,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MBKS hari ini.

Bayaran katanya, akan dikenakan untuk setiap gerai dan sejumlah 272 gerai disediakan untuk disewa kelak.

“Sejumlah RM110 dikenakan bagi setiap gerai kepada orang awam dan bagi pemilik kedai atau penyewa di Pusat Komersial Taman Kenyalang, akan dikenakan bayaran sebanyak RM60 setiap gerai untuk dua ruang di hadapan atau di sebelah kedai mereka.

“Dari segi jangkaan orang ramai, dianggarkan ratusan ribu pengunjung akan berkunjung ke bazar tahunan tersebut nanti,” katanya.

Majlis itu dijadualkan bakal dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.