Muzium Budaya Borneo menang anugerah emas

0
10

KUCHING: Muzium terbesar di Malaysia, Muzium Budaya Borneo (BCM) yang mula beroperasi 9 Mac lalu memenangi Anugerah Emas Pelancongan Malaysia bagi tahun 2022.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, anugerah diterima pada 22 Oktober lalu itu menjadikan rakyat Sarawak berbangga kerana mempunyai sebuah muzium bertaraf dunia yang mempamerkan budaya dan sejarah mereka “Muzium ini menawarkan pengalaman terbaik untuk pengunjung menghargai keindahan budaya Sarawak yang unik.

“Pencapaian yang membanggakan ini menjadikan Muzium Budaya Borneo dilihat sebagai penanda aras kepada muzium lain di Malaysia,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dun Khamis.

Tambah Adun Asajaya itu, sejak BCM dibuka kepada orang ramai mulai 9 Mac hingga 26 November lepas, BCM telah merekodkan sebanyak 490,557 pengunjung.

Manakala jumlah pengunjung paling ramai dalam satu hari iaitu sebanyak 7,671 direkodkan pada 4 Jun lepas.

“Pada 29 Mac lalu, muzium menerima kunjungan Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Ini bermakna muzium ini menerima ramai pengunjung termasuk duta negara luar, konsulat, pegawai dari agensi kerajaan persekutuan dan negeri, institusi pendidikan, syarikat swasta dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya lagi.

Muzium bertaraf dunia itu direka dan dilengkapi dengan kemudahan teknologi abad ke-21 itu mempunyai ruang pameran interaktif berkeluasan 6,638 meter persegi dan menampilkan tiga tema berbeza disetiap tingkat.