Menteri Perpaduan tulang belakang keutuhan bangsa Malaysia 

0
16
AARON AGO DAGANG

KUCHING: Pembentukan Kementerian Perpaduan adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan untuk membentuk kerjasama unggul dikalangan rakyat dan pemimpin Malaysia.

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang percaya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menterjemahkan elemen keikhlasan dalam pentadbirannya demi semua bangsa dan agama di seluruh negara.

Tambah Ahli Parlimen Kanowit itu lagi, tanggungjawab yang akan dipikulnya adalah tulang belakang dan perkara pokok kepada kesatuan berpanjangan rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

“Ini adalah satu bentuk keikhlasan pentadbiran kepada semua bangsa di seluruh negara, penting untuk rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, sedangkan kerajaan ini pun dipanggil Kerajaan Perpaduan.

“Perpaduan antara bangsa ini adalah satu perkara utama yang akan kita lihat ke hadapan di mana ia pastinya akan merangkumi soal keamanan dalam beragama dan meraikan perayaan pelbagai bangsa.

“Banyak perkara yang akan dirancang dan akan dilaksanakan dalam Kementerian Perpaduan ini menyuntik segala aspek keharmonian serta nilai positif bagi mengukuhkan kebersamaan antara rakyat,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Terdahulu, tanggungjawab Menteri Perpaduan Negara digalas oleh Datuk Halimah Mohamed Sadique merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi daripada Barisan Nasional (BN).

Sebelum PRU15, Aaron memegang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan II bermula pada Mac 2020 dan menjadi Ahli Parlimen sejak 2004.

Pada PRU15, Aaron mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada paryi kompinen Parti Rakyat Sarawak (PRS) berjaya memenangi kerusi Parlimen Kanowit dengan meraih 7,411 undi dengan majoriti undi sebanyak 236.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof, tiga Ahli Parlimen GPS turut melengkapkan barisan Kabinet Persekutuan.

Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Kerja Raya, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), dan Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan).