Hospital Sarikei cari ibu bapa kandung pesakit remaja perempuan

0
3
Hospital Sarikei memohon kerjasama orang ramai mengesan keberadaan ibubapa pesakit bernama Suzie Santi Rio anak Boi.

SARIKEI: Hospital Sarikei memohon bantuan orang ramai untuk mengesan ibu bapa kandung pesakit bernama Suzie Santi Rio anak Boi.

Menurut kenyataan dari Hospital Sarikei, remaja perempuan berusia 15 tahun berasal dari Rumah Jenggut, Nanga Bulo, Kapit masih mencari ibu bapanya memandangkan sepanjang berada di hospital terbabit, ibubapa pesakit tidak pernah datang melawat pesakit.

“Pesakit memaklumkan bapanya bernama Boi anak Sinmong, manakala ibunya bernama Leja anak Lubok dan pesakit turut memberitahu telah berpisah dengan ibu bapanya sejak sekian lama.

“Berdasarkan alamat yang terdapat pada sijil lahir pesakit, alamat terakhir ibu bapanya adalah di Rumah Jenggut, Nanga Bulo, 96800 Kapit, Sarawak,” katanya.

Pada masa ini, pesakit masih berada di Wad Kanak-Kanak hospital berkenaan.

Hospital Sarikei memohon agar pihak yang mengenali Boi anak Sinmong dan Leja anak Lubok untuk memaklumkan mereka tentang keberadaan pesakit dan datang segera ke Hospital Sarikei untuk perancangan discaj pesakit.

Sebarang pertanyaan, boleh berhubung dengan Pegawai Kerja Sosial, Unit Kerja Sosial Perubatan, Setayler Saing di 084—653333 sambungan 2058.