Fadillah dilantik sebagai TPM, 5 Menteri penuh untuk GPS

0
3
Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING: Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof menepati ramalan apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia di bawah pentabdiran Kerajaan Perpaduan.

Pelantikan itu sekali gus melakar sejarah tersendiri bagi Naib Presiden Kanan Parti PBB itu yang muncul sebagai anak Sarawak pertama memegang jawatan kedua tertinggi negara.

Selain Timbalan Perdana Menteri, Fadillah turut diberi tanggungjawab memegang portfolio Menteri Perladangan dan Komoditi.

Antara lain, empat Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) turut melengkapkan barisan Kabinet Persekutuan.

Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Kerja Raya, Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat), Datuk Seri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan) dan Datuk Aaron Ago Dagang sebagai Menteri Perpaduan Negara.

Selaras dengan dasar pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengecilkan saiz Kabinet Persekutuan, ia berjaya dikurangkan kepada 28 anggota berbanding 70 sebelum ini.

Malah peruntukan jawatan kepada Ahli Parlimen GPS juga dikurangkan kepada lima berbanding tujuh jawatan menteri penuh sebelum ini.

Pengumuman mengenai pembentukan Kabinet telah dibuat oleh Anwar pada jam 8.15 malam tadi.