Dua nama dari Sarawak disebut-sebut jadi TPM

0
2
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Usaha mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) lebih penting berbanding jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Premier Sarawak, kerajaan negeri yang dipimpin oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga tidak mempunyai agenda tersembunyi untuk melobi jawatan TPM.

PH sebelum PRU-15 berjanji untuk memberi satu jawatan TPM kepada Sabah dan Sarawak.

Memandangkan GPS memenangi 23 kerusi Parlimen pada PRU lalu, maka jawatan itu selayaknya diberi kepada parti yang terdiri daripada PBB, SUPP, PRS dan PDP itu.

Namun, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari, sekiranya jawatan berkenaan diserahkan kepada wakil rakyatnya, perkara itu tidak menjadi masalah.

Jawatan itu katanya akan mengukuhkan kedudukan Sarawak untuk terus memperjuangkan hak dalam MA63 dan Laporan IGC.

“Kita tidak pernah mendesak untuk apa-apa.

Oleh sebab itu, jawatan TPM tidak menjadi keutamaan kerana kita tidak mempunyai agenda untuk mendapatkannya namun kalau orang beri, kita ambillah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Kelab Backbenchers GPS di sini malam tadi.

Antara nama yang disebut-sebut bakal dilantik ke jawatan itu ialah Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusoff dan Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Fadillah ialah Ahli Parlimen Petra Jaya manakala Alexander ialah Ahli Parlimen Kapit.

Abang Johari memaklumkan yang beliau juga telah menyatakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Kerajaan Persekutuan melunaskan perkara berkaitan MA63 dan IGC.

Ini kerana menurut beliau, sekiranya perjanjian itu dihormati, GPS akan dapat mentadbir Sarawak dengan lebih baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam dipetik berkata perbincangan mengenai pelantikan barisan Kabinet kini hampir selesai dan berharap ia dapat diumumkan dalam masa terdekat.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dijadualkan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 8 pagi ini.