Anwar umumkan kabinet baharu petang ini

0
7
Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Kabinet baharu akan diumumkan hari ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau mengumumkan demikian dalam ucapan di Masjid Muhammad Al Fateh Tambun, Perak, dalam lawatan pertama beliau ke kawasan parlimen yang dimenanginya pada PRU-15, 19 November lalu.

Menurut The Vibes, pengumuman itu dijangka dilakukan di Jabatan Perdana  Menteri di Putrajaya, dan media dilaporkan mendaftarkan diri untuk sidang media Perdana Menteri.

Dilaporkan anggota kabinet baharu  akan diminta menghadiri mesyuarat pada Isnin depan.

Mesyuarat itu bagi menetapkan beberapa peraturan baharu untuk Jemaah Menteri, antaranya berkenaan dasar dan penjimatan seta menangani kos sara hidup.

“Tumpuan  adalah untuk pulih ekonomi. Kita sudah pulihkan keyakinan pelabur. Ringgit dah diperkuat…ini bermaksud kos import dah kurang dan tidak terlalu mahal,” katanya.

Anwar sebelum ini menyatakan saiz kabinet itu akan dikecilkan berbanding kabinet sebelum ini.

Dipercayai sebanyak 25 menteri akan dilantik dengan dua timbalan perdana menteri, seorang daripada BN dan seorang lagi daripada GPS.

Nama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diuar-uarkan mewakili Bn manakala dari Sarawak  Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusoff dan Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Akhirnya terserah kepada budi bicara dan prerogatif Perdana Menteri untuk memilih dan melantik mereka.