Amal budaya kerja sihat, selamat

0
6

KUCHING: Penganjuran Seminar Tempat Kerja Sihat dan Selamat: MS ISO 45001 (SPKPP) oleh Niosh Certification (NIOSHCert) Sdn Bhd di Sarawak boleh membantu industri memperkemas budaya selamat serta sihat di tempat kerja.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak Dr Nor Halim Hasan berkata, majikan perlu mengambil inisiatif awal dengan mewujudkan sistem pengurusan kesihatan dan keselamatan pekerjaan mereka.

“Untuk memastikan risiko ini dapat dinilai, dikawal dan dicegah, satu perundangan baharu akan dikuatkuasakan di bawah Seksyen 18B Akta 1648 yang menjadi kewajipan kepada setiap majikan untuk menjalankan dan melaksanakan penilaian risiko bagi setiap aktiviti kerja yang sedang dijalankan pekerja mereka.

“Tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja terpulang kepada mereka yang mencipta risiko serta mereka yang bekerja dengan risiko berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perasmian Seminar Tempat Kerja Sihat dan Selamat di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah NIOSHCert Thomas Balan berkata, pelaksanaan ISO 45001 SPKKP yang baik boleh menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) PBB.

“Ini selaras dengan usaha kerajaan dalam mencapai SDG PBB menjelang 2030,” ujarnya.

Seminar tersebut dikendalikan JKKP Sarawak dibantu Jabatan Standard Malaysia, NIOSHCert dan Sarawak Energy Berhad yang mendapat pensijilan ISO 45001.

Seramai 50 peserta terlibat dengan seminar tersebut yang berperanan mempromosi keselamatan dan kesihatan pekerjaan di seluruh negeri ini.

Seminar SPKKP siri keempat tahun ini memberi pendedahan mengenai kepentingan sistem pengurusan kesihatan dan keselamatan pekerjaan sistematik kepada majikan, pekerja dan orang awam.