1,200 km perlu dibina, hubungkan 381 penempatan di Sarawak

0
9
Datuk Amar Douglas Uggah

KUCHING: Jalan baharu sepanjang 1,200 kilometer (km) perlu dibina bagi menghubungkan 381 penempatan di negeri ini, kata Timbalan Premier Sarawak.

Menurut Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ini bagi membolehkan akses darat ke kawasan luar bandar di negeri ini mencapai 100 peratus.

“Setakat ini, sejumlah 5,833 atau 94 peratus daripada 6,214 penempatan yang didaftarkan di kawasan luar bandar telah dilengkapi dengan akses jalan raya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungannya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.

“Ke arah mencapai 100 peratus perhubungan jalan di Sarawak, kita perlu membina keseluruhan jalan berkenaan,” katanya.

Jelas Douglas Uggah, pangkalan data mengenai ketersambungan luar bandar itu diperoleh menerusi makmal susulan yang telah dijalankan pada awal tahun ini.

Tambah Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu lagi, kementeriannya bersama-sama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak akan melihat pendekatan baharu bagi mengurangkan kos pembinaan jalan raya terbabit.

“Kesalinghubungan luar bandar amat penting bagi Sarawak kerana ia membuka peluang pertumbuhan baharu dan meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat,” katanya