Tahniah Anwar, Terima kasih Ismail Sabri – Abang Jo

0
2
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan kestabilan politik dan kesejahteraan ekonomi negara.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara terutama dalam membuat keputusan untuk negara.

“Sebagai rakyat Malaysia yang taat setia kepada titah Yang Di-Pertuan Agong, Kerajaan GPS telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada keputusan Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk perlantikan Perdana Menteri Malaysia ke-10 dan seterusnya menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Ini membuktikan bahawa Kerajaan GPS merupakan model Kerajaan yang sentiasa menjunjung prinsip Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; dan Kesopanan dan Kesusilaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Khamis.

Dalam pada itu Abang Johari turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri baharu pada 24 November lalu.

Mewakili 2.8 juta rakyat Sarawak, beliau berharap dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan baharu, banyak pembangunan dapat dilaksanakan dan segala hak tuntutan Sarawak dapat dipenuhi demi semangat perpaduan dalam Malaysia.

“Wakil kita dalam Kerajaan Perpaduan akan memastikan semua dasar dan inisiatif Kerajaan Persekutuan akan mengambil kira kesejahteraan rakyat kita.

“Status, hak dan kepentingan Sarawak dalam Persekutuan selaras dengan hak perlembagaan kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC),”

Selain itu, Abang Johari turut menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas segala jasa dan sumbanganny dalam pembangunan sosioekonomi Sarawak.