Sarawak tingkat pelaburan asing menerusi tenaga hijau

0
2
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING: Sarawak mengfokuskan kelebihan daya saing menerusi ketersediaan tenaga hijau yang boleh diperbaharui bagi menarik peningkatan pelaburan asing.

Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, empat buah negara disasarkan untuk meningkatkan promosi pelaburan tersebut iaitu Singapura, Australia, Korea Selatan dan Jepun.

Katanya, pembinaan hubungan bersama pelabur asing itu dilakukan dengan pendekatan penglibatan bersemuka secara langsung berbanding komunikasi maya bagi meningkatkan keyakinan mereka terhadap Sarawak.

“Kita perlu sedar bahawa Sarawak bukan sahaja bersaing dengan negara jiran, tetapi juga bersaing di negeri lain di Malaysia untuk pelaburan.

“Oleh itu, Sarawak perlu memanfaatkan lebih banyak kelebihan daya saing kita terutama mengenai ketersediaan tenaga hijau boleh diperbaharui yang menonjol sebagai destinasi pelaburan yang menarik,” katanya dalam ucapan penggulungan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan menambah, Sarawak kini amat mengalu-alukan pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI) bukan sahaja dalam industri huluran tetapi hiliran dan industri tambah nilai sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 tahun 2030 (PCDS 2030).

Bagi meningkatkan minat terhadap projek di Sarawak, Awang Tengah menegaskan Kerajaan Sarawak akan terus meningkatkan kemudahan infrastruktur bagi mewujudkan persekitaran lebih kondusif dan cergas untuk perniagaan berkembang dan maju.

Katanya, ia termasuk pembinaan dan menaik taraf infrastruktur seperti taman perindustrian, jalan raya, loji rawatan air, pencawang, kemudahan pelabuhan, menara komunikasi dan sebagainya.