Sarawak perlu lebih 5 peratus daripada peruntukan kerajaan persekutuan

0
2
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING: Sarawak memerlukan lebih 5 % daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyatnya, kata Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Lagipun menurut Timbalan Premier Sarawak, tambahan peruntukan berkenaan merupakan hak Sarawak yang tidak boleh dinafikan.

“Peruntukan lebih banyak akan digunakan untuk merapatkan jurang pembangunan  antara Sarawak dengan Semenanjung Malaysia.

“Pembangunan ini melibatkan pelbagai sektor, bukan sahaja untuk membangunkan infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, pelabuhan dan sebagainya malah bagi pendidikan, kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Beliau  yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan negeri berkata demikian ketika sesi penggulungan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Kata Awang Tengah, Sarawak juga memerlukan peruntukan yang lebih besar untuk pembangunan estet perindustrian dan premis perniagaan.

“Kita juga mahu mempertingkatkan program pembangunan sosioekonomi serta program membasmi kemiskinan,”katanya.