Sarawak-Malaysia rumah kedua: Hong Kong, Amerika Syarikat, UK banyak mohon

0
7
Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah

KUCHING: Warga Hong Kong ialah pemohon tertinggi bagi Program Sarawak-Malaysia Rumah Keduaku (S-MM2h).

Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, sejak penambahbaikan program berkenaan pada 1 Sept lalu, lima negara  memohon S-MM2h iaitu Hong Kong (58), Amerika Syarikat (AS) (54), United Kingdom (49), Singapura (38) dan Jepun (32).

“Sejak pelaksanaannya, sehingga tahun 2022, kita telah meluluskan 1,689 permohonan S-MM2h,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan kementeriannya pada persidangan hari ketujuh Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke- 19, pada Rabu.

Antara penambahbaikan  termasuk pemohon secara mandatori perlu membuka akaun simpanan tetap dengan bank tempatan di Sarawak berjumlah RM150,000 untuk individu, manakala RM300,000 untuk pasangan.

Pemegang visa ini dikehendaki menetap di Sarawak sekurang-kurangnya 30 hari setahun berbanding dengan 15 hari setahun sebelum ini.

Pemohon S-MM2H  dibenarkan bekerja atau terlibat dalam perniagaan sepanjang tempoh penyertaan program berkenaan, namun  tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Pemohon juga hendaklah tergolong dalam golongan profesional serta telah mendapat kelulusan daripada Kerajaan Sarawak.

Program ini terbuka kepada semua warga negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.