Sarawak kenal pasti 11 cadangan tindakan atasi banjir puing di Baleh

0
15
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan

KUCHING: Sebanyak 11 cadangan tindakan telah dikenal pasti bagi menangani isu banjir puing di kawasan Empangan Baleh, kata Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Ia dibahagikan kepada pelan tindakan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang termasuk keperluan penyediaan Biomass Removal Plan (BRP).

“Sebuah firma juru perunding telah dilantik bagi menyediakan BRP di kawasan Empangan Baleh. BRP tersebut telah diluluskan pada 27 Jun 2022.

“Kerajaan akan meneliti secara mendalam berhubung dengan rekomendasi BRP tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut dibuat,” katanya.

Bagaimanapun Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua itu berkata buat masa ini, kerajaan belum bercadang untuk menarik balik larangan operasi pembalakan di kawasan berkenaan.

Menurut Awang Tengah, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan pasukan petugas khas yang dianggotai oleh pelbagai jabatan dan agensi yang berkaitan seperti Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Jabatan Hutan Sarawak, NREB, SRB, Jabatan Tanah dan Survei, Residen Bahagian Kapit, SEB, dan STIDC.

Ia bagi menangani isu banjir puing (floating debris) tersebut termasuklah menyediakan pelan tindakan yang bersesuaian.

Beliau berkata demikian semasa dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini pada Khamis.

Ia sebagai menjawab isu yang dibangkitkan oleh Nicholas Kudi Jantai (GPS-Baleh) berhubung isu banjir puing di dalam DUN Baleh.