Perhalusi permintaan Sarawak

0
8

KUCHING: Kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memperhalusi beberapa tuntutan Sarawak terhadap hak yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Demikian harapan yang disuarakan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn yang mengharapkan kerajaan ini mempertimbangkan untuk memberi kuasa autonomi dalam isu berkaitan pendidikan.

“Perkara ini perlu diberi pertimbangan sewajarnya kerana ia aspirasi dan harapan seluruh rakyat Sarawak,” katanya pada ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak di sini, kelmarin.

Beliau berkata, walaupun pendidikan terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan dalam hal pendidikan.

“Dalam tempoh lima tahun lalu, pelbagai usaha dilaksanakan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak untuk meningkatkan pembangunan fizikal sekolah.

“Ini terbukti melalui pelbagai usaha yang dilaksanakan termasuk meningkatkan pelaksanaan pembangunan fizikal sekolah dan program pembangunan profesional secara berterusan kepada warga pendidik, katanya.

Terdahulu, dalam pertemuan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri itu menyatakan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Sarawak pastinya akan lebih erat dan diperkukuh di bawah kerajaan perpaduan.