Lembaga Pelabuhan Miri sebagai perintis

0
2
Datuk Amar Douglas Uggah

KUCHING: Lembaga Pelabuhan Miri telah dipilih sebagai perintis dalam Kajian Pelan Induk Pelabuhan Sarawak yang akan bermula pada suku pertama 2023.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kajian pelan induk itu bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan pelabuhan, menaik taraf kemudahan pelabuhan dan meneroka peluang perniagaan baharu.

Menurut beliau, kajian ini akan merangkumi kemungkinan menangani isu kekeringan cetek di saluran akses Kuala Baram.

“Dari segi pembangunan pelabuhan fizikal, Uggah berkata sebanyak RM70 juta telah diluluskan untuk membekal, memasang dan mentauliahkan kren gantri untuk Lembaga Pelabuhan Kuching (KPA) bagi meningkatkan prestasi pengendalian kontena.

“Projek itu kini di peringkat tender akhir dan dijangka dianugerahkan pada akhir tahun ini,”katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan di Dewan Undangan Negeri(DUN), petang tadi.

Mengulas lanjut, Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, sebanyak RM30.5 juta diperuntukkan kepada Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) yang kini 84 peratus dibangunkan.

Beliau berkata apabila siap dan dijadualkan untuk pentauliahan pada suku pertama 2023, sistem ini akan membolehkan KPA mengurus dan meningkatkan keselamatan navigasi kapal yang menggunakan pelabuhan.

“Manakala, sebanyak RM56.9 juta juga baru-baru ini dianugerahkan bagi cadangan pembinaan limbungan kenderaan KPA dan kemudahan berkaitan di Terminal Senari.

“Bagi Pelabuhan Tanjung Manis, sebanyak RM39.4 juta diperuntukkan bagi projek Aids to Navigation (AtoN) yang kini 90 peratus siap dan dijangka siap menjelang suku pertama 2023.

“Apabila siap kelak, sistem ini akan meningkatkan kecekapan navigasi, menyediakan maklumat cuaca dan pasang surut serta mengawal aliran trafik marin dari Kuala Rajang ke Tanjung Manis,”ujarnya.

Tegas Uggah, inisiatif tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memodenkan infrastruktur pelabuhan, kemudahan dan keselamatan pelayaran dalam memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak.

Ini akan meningkatkan keyakinan pengguna pelabuhan dan seterusnya meningkatkan produktiviti, kecekapan dan keuntungan pelabuhan kami, katanya lagi.