Kaji laluan bas rentas sempadan

0
13
Datuk Seri Lee Kim Shin

KUCHING: Kementerian Pengangkutan Sarawak sedang mengkaji kemungkinan membuka laluan bas rentas sempadan baharu antara Kuching dengan Singkawang di Kalimantan Barat melalui Imigresen Bersepadu, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Biawak – Aruk.

Menterinya Datuk Seri Lee Kim Shin berkata, ini akan memudahkan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk membawa lebih ramai pelancong ke Sarawak terutama untuk perkhidmatan perubatan di Kuching serta untuk beriadah.

Beliau berkata, umum mengetahui Kerajaan Indonesia memindahkan ibu kotanya dari Jakarta ke Nusantara, Kalimantan yang akan beroperasi pada 2024.

“Justeru, Sarawak mesti mengatur strategi dan meletakkan dirinya untuk memperoleh faedah sosioekonomi dan melengkapkan pembangunan Nusantara.

“Salah satu aspek asas yang perlu kita fokuskan adalah mempertingkat hubungan dengan Kalimantan, terutamanya melalui pengangkutan darat dan perhubungan udara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini kelmarin.

Kim Shin berkata, kementerian juga mencadangkan untuk meneruskan semula penerbangan dari Pontianak ke Kuching dan sebaliknya yang merupakan sektor popular.

“Ia juga memudahkan orang ramai mendapatkan rawatan perubatan di Kuching.

“Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Pegawai Kanan BIMP-EAGA dan Mesyuarat Menteri di Pontianak, Indonesia baru-baru ini dan hubungan antara Kuching dan Pontianak akan disambung semula tidak lama lagi,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, laluan udara baharu dari Kuching ke Samarinda dan Miri ke Balikpapan di Kalimantan Timur juga dibincangkan untuk meningkatkan aktiviti perniagaan dan pelancongan.

“Memandangkan Sarawak berkongsi sempadan darat dengan Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia, kementeriannya perlu bekerjasama rapat dengan negara lain.

“Ia bagi meningkatkan ketersambungan dan ketersampaian rentas sempadan bagi memudahkan pengangkutan barangan dan pergerakan orang.

“Kami telah meningkatkan usaha untuk memudahkan dan mencapai persetujuan dengan Kalimantan Barat untuk menyambung semula perkhidmatan bas ekspres dari Kuching ke Pontianak dan sebaliknya bermula 1 September lalu.

“Perkhidmatan bas rentas sempadan itu mendapat sambutan positif daripada penumpang warga Sarawak dan Indonesia.

“Setakat hari ini, purata 1,200 penumpang sebulan direkodkan menggunakan perkhidmatan bas antara Kuching ke Pontianak dan sebaliknya,” katanya.