Dedah fungsi talian kecemasan

0
2
KANAK-KANAK Tabika Kemas Pelabuhan Miri tekun mendengar taklimat anggota APM Miri.

MIRI: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Cawangan Miri meneruskan Program Kesedaran dan Keselamatan Pertahanan Awam (PROKSPA) membabitkan kanak-kanak tabika.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Miri Mirwan Shah Masri berkata, kali ini program itu diadakan di Tabika Kemas Kampung Muhibbah, Tabika Kemas Pelabuhan Miri dan Tabika Kemas Kampung Batu Satu.

“Program yang berlangsung dari jam 9 hingga 11 pagi itu membabitkan 134 kanak-kanak dari tiga tabika,” katanya semalam.

Inisiatif PROKSPA adalah untuk mendedahkan kanak-kanak akan tatatertib dan pengenalan talian Kecemasan 999 serta larangan membuat panggilan palsu.

Menurutnya, kelas dan silibus dilaksanakan mengikut SOP Fasa 4 dan arahan yang ditetapkan serta mengikut silibus yang sesuai.

“Pelaksanaan silibus selama dua jam ini berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kes kecemasan dilaporkan sepanjang latihan.

Silibus ini bertujuan untuk mendedahkan kanak- kanak fungsi talian Kecemasan 999 serta tidak menyalah guna, tidak membuat panggilan palsu dan bermain dengan talian ini,” jelasnya.

Mirwan menegaskan, mereka yang menyalah guna talian ini akan didakwa dan didenda sebanyak RM50,000 atau dihukum penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan

Agensi yang terlibat dengan Talian Kecemasan 999 ialah APM, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).