Buli jalan raya, polis tahan lelaki di Bintulu

0
24
SUPT BARTHOLOMEW UMPIT..

BINTULU: Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan insiden buli jalan raya di sini.

Ketua Polis Bintulu Supt Batholomew Umpit berkata saspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan di rumah susulan laporan dibuat mangsa pada 4.42 petang Selasa.

Dalam laporannya, pengadu mendakwa saspek telah mengugut mahu mencarinya semula untuk memukulnya

“Berdasarkan siasatan awal, mendapati kejadian berlaku di hadapan sebuah stesen minyak dan saspek mengekori mangsa hingga ke sebuah kafeteria di kawasan Batu 5, Bintulu.

“Saspek mengekori kereta mangsa kerana tidak berpuas hati atas tindakan mangsa yang membunyikan hon lalu kemudian menumbuk muka mangsa, ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, saspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 506/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah, khianat ke atas kenderaan dan menghalang penjawat awam melakukan tugas.

Saspek, katanya lagi, akan disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah dan direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

“PDRM Bintulu memberi peringatan tegas terhadap sebarang aktiviti seperti samseng jalanan, yang boleh mengugat keselamatan orang awam di jalan raya, PDRM Bintulu akan bertindak dan mengambil tindakan tegas untuk membendung aktiviti ini demi menjamin keselamatan awam,” tambah Bartholomew lagi.