Bina 45 pusat komuniti digital di Sarawak

0
4
Datuk Julaihi Narawi FOTO: MOHD ALIF NONI

KUCHING: Kerajaan Sarawak mewujudkan 45 pusat komuniti digital sebagai usaha mengoptimumkan kemudahan telekomunikasi sedia ada.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi berkata, usaha itu dilaksanakan melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG).

“Ini merupakan sebahagian langkah berterusan kerajaan dalam usaha meningkatkan kapasiti jaringan komunikasi yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat setempat,” katanya dalam ucapan Penggulungan Mesyuarat Ketiga Bagi Penggal Pertama Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Ke-19, kelmarin.

Beliau berkata, dalam usaha mencapai liputan penuh bekalan air, elektrik dan telekomunikasi, kementerian masih lagi menghadapi beberapa cabaran iaitu isu berkaitan izin lalu tapak dengan pemilik persendirian, syarikat perladangan, syarikat konsesi hutan dan agensi lain yang berkaitan.

Sehubungan itu, Julaihi menyeru semua pihak yang berkepentingan bekerjasama dalam menangani isu tersebut bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan projek pembangunan utiliti di Sarawak.

Tegasnya, semua pihak yang terlibat dalam projek pembangunan supaya mengambil kira dan perhatian yang serius terhadap kemudahan utiliti seperti kabel elektrik, paip air, kabel telekomunikasi dan paip gas bawah tanah di sesuatu tapak yang melibatkan kerja-kerja pengorekan.

“Kementerian juga menyeru semua pihak yang terlibat dalam projek pembangunan berkongsi maklumat dan mencadangkan penggunaan kaedah pengesanan semua jenis kabel dan paip bawah tanah sebelum memulakan kerja masing-masing.

“Ini amat penting untuk melindungi semua jenis kabel dan paip dari kerosakan semasa kerja pengorekan, mengurangkan gangguan bekalan utiliti kepada orang awam sekali gus meningkatkan keselamatan semua pihak,” tambahnya.