Sekolah pertama antarabangsa Sarawak dijangka siap suku ketiga 2023

0
3
Datuk Roland Sagah Wee Inn

KUCHING: Projek pembinaan bagi Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) di Batu 12 Jalan Kuching-Serian yang kini mencapai 50.67 peratus dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2023, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Sarawak.

Menurut Datuk Roland Sagah Wee Inn setelah dibangunkan sepenuhnya kelak, kampus itu dapat menampung 500 pelajar dari Tahun 7 hingga Tahun 11 yang setara dengan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, pada Selasa.

Jelas Roland  lagi, kerajaan Sarawak turut membina YSISS di Sibu yang disasar akan bermula pembinaan pada suku pertama 2023 dan siap pada Julai 2024.

“YSISS Bintulu dan Miri kini dalam peringkat perancangan,” ujarnya.

Beliau berkata YSISS pertama di Petra Jaya mula beroperasi secara rasmi pada 4 April 2022 dengan pengambilan awal membabitkan 1,261 pemohon dan daripada jumlah itu 761 pemohon telah menduduki peperiksaan kemasukan.

“Disebabkan menghadapi kekangan kapasiti, kampus tersebut hanya boleh menerima 115 pelajar untuk kumpulan pertama,” katanya.