Ringankan beban golongan B40

0
4
ORANG awam berbaris untuk membeli barang keperluan.

MUKAH: Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (JMKM) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Mukah di Dun Semop dan Dun Daro semalam.

Program ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam membantu meringankan beban golongan B40 dan yang memerlukan.

Bagi Dun Semop ia merupakan kali ketiga JMKM dilaksanakan di Belily Enterprise Penibong dan merupakan kali kesembilan di Dun berkenaan.

Manakala di Dun Daro ia dilaksanakan di Long Heng Mini Market yang juga merupakan kali kesembilan JMKM di sana.

Menurut Ketua Cawangan KPDNHEP Mukah Salihin Den, setiap JMKM yang diadakan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk dengan pengunjung beratur panjang seawal jam 8 pagi untuk membeli barangan yang ditawarkan.

“Dalam JMKM ini berlaku penjimatan harga sehingga 30 peratus bagi item seperti beras, gula, minyak masak paket, tepung gandum dan telur ayam.

“Penganjuran program ini membantu penduduk tempatan untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih rendah dan berpatutan.

“Bagi di Dun Semop terdapat juga pengujung dari kampung berdekatan seperti Kampung Penuai, Kampung Tekajong, Kampung Penipah dan sekitar datang bagi mendapatkan bekalan keperluan pada harga yang lebih murah,” katanya. Malahan pengunjung yang

ditemui menyambut baik penganjuran program tersebut kerana pengusaha juga menurunkan harga beberapa barangan lain.

Pengunjung yang hadir juga mencadangkan agar program ini diteruskan lagi bagi menangani kos sara hidup yang kian meningkat.

“KPDNHEP Mukah mengucapkan terima kasih kepada rakan strategik yang terdiri daripada pihak swasta dan kerajaan dalam membantu usaha murni ini.

“Pengguna juga boleh melayari laman rasmi Facebook KPDNHEP Mukah bagi mengetahui tarikh dan lokasi JMKM yang akan datang,” jelasnya sambil menambah program berkenaan akan dilaksanakan sehingga Disember depan.