Projek Fasa 1 ART – Laluan Biru dari Kota Samarahan kini bermula

0
13
Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro)

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) telah menganugerahkan kontrak kepada Hock Seng Lee Bhd (HSL) bagi pembinaan dan penyiapan kerja-kerja lanjutan Depo Rembus, yang merupakan depo Transit Aliran Autonomi (ART) di Kota Samarahan.

Menurut kenyataan Sarawak Metro, HSL antara tujuh syarikat yang menyerahkan tender kepada anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang ditutup pada 25 Julai lalu.

Kontrak bernilai RM64.3 juta itu melibatkan pembinaan dan penyiapan kerja-kerja lanjutan Depo Rembus untuk Laluan Biru di bawah fasa pertama projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Kerja-kerja lanjutan untuk depo tersebut akan bermula dalam masa terdekat termasuk pembinaan struktur fizikal.

Selain ART, depo tersebut juga akan menempatkan perkhidmatan bas hidrogen dan pelan pengeluaran hidrogren SEDC Energy Sdn Bhd.

Dalam kenyataan sama, turut dibina termasuk kemudahan mengisi bahan api hidrogen, landasan ujian, loji cuci automatik, bengkel mekanikal dan infrastruktur, dan bangunan pentadbiran.

Depo Rembus dijadualkan mula beroperasi pada suku keempat 2025, serentak dengan pembukaan Tahap 1 perkhidmatan penumpang ART untuk Laluan Biru.

Sarawak Metro, telah diamanahkan oleh Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan Projek KUTS yang akan dibangunkan secara berperingkat bermula dengan Fasa 1, untuk pembangunan Laluan Biru, Merah dan Hijau.

Garis Biru akan bermula dari Rembus ke Hikmah Exchange di pusat bandar, meliputi jarak 27.6 km, manakala Laluan Merah dari Kuching Central ke Pending, sejauh 12.3 km dan Laluan Hijau adalah dari Pending ke Damai Central di Santubong, meliputi jarak 30 km.

Perkhidmatan penumpang untuk ART dijadualkan akan diperkenalkan secara berperingkat, bermula dari suku keempat 2025.

Pakej Sistem 1 dan 2 bagi projek tersebut telah dianugerahkan kepada kontraktor pada bulan Julai dan November 2022.

Untuk rekod, kontrak Pakej Sistem 1 adalah untuk pembekalan ‘rolling stock’, iaitu kenderaan Autonomous Rapid Transit (ART) berkuasa hidrogen, peralatan depo dan kenderaan penyelenggaraan (DEMV), sistem isyarat dan kawalan (S&CS) dan pintu platform automatik (APG). .

Bagi Pakej Sistem 2 pula, ia adalah untuk pembekalan Telekomunikasi (Comms); Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA); Kutipan Tambang Automatik (AFC); Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Berkomputer (CMMS); Pusat Kawalan Operasi (OCC); dan Sistem Teknologi Maklumat (ITS).