Naik taraf pelancongan luar bandar

0
4
Sempurai Petrus Ngelai

SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) akan terus komited menambah baik produk pelancongan luar bandar di sini.

Pengerusinya Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai berkata, produk pelancongan yang akan ditambahbaik itu ialah Pesta Selangau, Pesta Sibu Jaya, Simfoni Batang Rajang dan Pesta Rakyat Durin (PRD).

Jelas beliau, kesemua pesta tersebut merupakan anjuran MDLBS yang dilihat mempunyai potensi untuk meningkatkan ekonomi penduduk luar bandar dengan kemasukan pelancong atau pengunjung luar.

“Pihak majlis akan kemukakan permohonan kepada kementerian untuk memasukkan keempat-empat pesta itu dalam kalendar acara pelancongan Sarawak.

“Oleh itu, saya menggesa kakitangan dan ahli majlis supaya menyiapkan kertas kerja awal untuk dihantar cepat agar tahun depan kesemua pesta tersebut dapat disenaraikan,” kata beliau.

Sempurai berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan PRD 2022 di sini pada malam kelmarin.

Beliau mendedahkan bahawa jika permohonan untuk memasukkan pesta itu ke dalam kalendar pelancongan ia akan mempunyai peruntukan untuk dianjurkan.

Sempurai berkata, jika pesta mempunyai peruntukan disediakan oleh pihak kementerian sudah pasti ia dapat dianjurkan dengan berskala lebih besar lagi.

“Saya berharap keempat-empat pesta anjuran MDLBS itu dapat disenaraikan dalam kalendar pelancongan Sarawak mulai tahun depan.

“MDLBS turut menghadapi kekangan kewangan ketika penganjuran pesta-pesta tersebut dan oleh itu saya bercadang untuk mengemukakan permohonan tersebut kepada pihak kementerian,” tegas beliau.