Martabatkan seni dan budaya pelbagai kaum

0
4
Abang Haliman Abang Julai

SARIKEI: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak sentiasa komited menyokong usaha dan agenda memartabatkan kearifan tempatan merangkumi bahasa, sastera, seni dan budaya pelbagai kaum di negeri ini.

Pengarahnya, Abang Haliman Abang Julai berkata, di samping dapat mengetengahkan nilai kearifan tempatan, kegiatan seni akan memberi manfaat membantu memperkenalkan Sarawak di mata masyarakat luar.

“Kita sedia maklum bahawa Sarawak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian etnik, seni budaya dan bahasa yang diwarisi sejak dulu.

“Justeru, khazanah unik ini yang mungkin hanya satusatunya terdapat di Sarawak ini wajar dipertahankan sama ada dalam bentuk dokumentasi atau diterbitkan melalui pelbagai wahana sama ada dalam bentuk tradisional mahupun media sosial,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Prapelancaran Kamus Melanau Matu-Daro, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, nilai intelektual melibatkan soal kesusasteraan, kebangsaaan dan juga kebudayaan Sarawak yang harus dan wajar dimartabatkan.

Malah katanya, penganjuran program ilmu seperti bengkel amat digalakkan kerana mampu memberi manfaat besar kepada komuniti setempat untuk menyumbang kepada usaha berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan ujarnya, DBP turut merangka pelbagai program sepanjang tahun depan dengan melibatkan penyertaan  pelbagai persatuan dan pertubuhan yang berkaitan.

“Program seperti bengkel penulisan dan komunikasi juga akan diperluaskan ke seluruh Sarawak.

Kita juga akan mengadakan festival sempena  Sambutan 60 Tahun Sarawak Dalam Malaysia selain menjalinkan kerjasama dengan pelbagai jabatan dan agensi termasuk Pustaka Negeri Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

“Saya berharap agar usaha ini dilihat sebagai satu langkah positif untuk menyebar luaskan hubungan kesusasteraan, kebudayaan, kesenian dan juga bahasa dalam kalangan penduduk berbilang kaum di Sarawak,” jelasnya.