Zahid: Tolak kerjasama dengan DAP, PKR bukan untuk selepas PRU-15

0
3
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Presiden Umno Datuk Seri Dr  Ahmad Zahid Hamidi  berkata, kerjasama antara blok ialah pendekatan baharu yang diyakini menjadi perintis perpaduan dan keharmonian seperti diilhamkan Yang di-Pertuan Agong.

“Kerjasama strategik ini tidak mengabaikan prinsip Umno. Perlu difahami bahawa prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah untuk berdepan pada PRU15 dan bukannya untuk pasca pilihan raya,” katanya di Facebook.

Tegas pengerusi BN itu,  pendirian Umno sebelum ini menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP, serta Bersatu dibuat untuk berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), bukan untuk selepas itu.

“Kesinambungan politik ini tidak akan menghilangkan identiti Umno yang tetap tidak berubah objektif penubuhan parti, iaitu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan Islam bagi memperkasa kemajuan bangsa,’ jelasnya.

Umno/BN telah memberi sokongan terhadap PH bersama-sama GPS dan GRS sehingga membolehkan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Umno tetap mempertahankan dasar parti untuk mengamalkan sikap sederhana dan progresif dalam menangani perubahan,” katanya sambil menegaskan bahawa Umno menolak parti yang menggunakan agama untuk berpolitik.

“Sebaliknya, Umno secara bertanggungjawab menggunakan politik untuk memelihara perkara berkaitan kepentingan bangsa, Melayu-Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.