Utamakan usahawan mikro dalam pengurusan subsidi

0
10
Dr Moslem Anoar FOTO:FB

KUCHING: Demi mengukuhkan lagi polisi ekonomi kerajaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim harus meletakkan kebajikan golongan usahawan mikro sebagai keutamaan dalam penetapan baharu pengurusan subsidi kepada rakyat.

Pakar ekonomi dan keusahawanan, Dr Moslem Anoar berkata landskap ekonomi ketara berubah akibat pandemik COVID-19 mengubah ramai golongan M40 kepada B40 sekali gus meningkatkan jumlah sasaran subsidi kerajaan.

Melihat kepada struktur itu juga, katanya tumpuan kepada kelompok usahawan mikro semakin relevan dengan sekitar 70 peratus daripada lebih satu juta perniagaan kecil dan sederhana (PKS) berdaftar dalam negara kini dipelopori kelompok berkenaan.

“Apa yang saya rasa perlu dilakukan ialah Perdana Menteri perlu memberikan tumpuan kepada PKS, usahawa makro kerana di Malaysia lebih kurang 70 peratus usahawan berdaftar kira-kira satu juta usahawan terdiri daripada usahawan mikro.

“Pendapatan mereka dalam lingkungan RM300,000 ke bawah setahun, sekiranya fokus diberikan kepada kumpulan ini, maka sasaran untuk membantu ekonomi usahawan di Malaysia dapat dilaksanakan,” katanya.

Ini kerana kata Moslem, golongan itu mewakili majoriti usahawan PKS di Malaysia.

Tambah Moslem, untuk memurnikan perancangan kerajaan, kebajikan usahawan harus dititikberatkan menerusi polisi yang bebas dari sebarang amalan birokrasi melampau.

Tegasnya selain gagal untuk memenuhi matlamat kerajaan, polisi sedemikian akan meningkatkan isu ketirisan dan kes  usahawan yang tercicir dari pakej rangsangan ekonomi.