Ringankan beban 3,000 keluarga

0
7
FATIMAH ABDULLAH (tengah) bersama-sama Rotary Club pada Majlis Penyerahan Pek Lampin Guna Semula.

KUCHING: Sebanyak 3,000 keluarga berpendapatan rendah di Sarawak menerima pek lampin guna semula untuk membantu meringankan beban kewangan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, projek tahunan Rotary Club itu menumpukan kepada kesihatan ibu dan anak serta pembangunan ekonomi.

Malah menurutnya, usaha tersebut memberi manfaat kepada 85 tukang jahit yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan sumber pendapatan daripada menjahit pek lampin.

“Ini merupakan kerjasama daripada Yayasan Hasanah dan Tanoti. Kita berharap penyediaan pek lampin ini dapat membantu meringankan beban ekonomi sekitar 3,000 ibu atau keluarga.

“Kita juga akan bekerjasama dengan klinik dan hospital ibu dan kanak-kanak untuk mengenal pasti penerima ,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Program Pengagihan Pek Lampin Guna Semula di Rumah Tanoti, semalam.

Fatimah menjelaskan, penggunaan lampin guna semula tersebut dapat membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Mengenai Bantuan Ibu Bersalin (BIB), beliau berkata, seramai 37,158 ibu menerima bantuan tersebut setakat 31 Oktober tahun ini.

“Bantuan ini berupa pemberian wang tunai RM450 kepada setiap ibu yang baru melahirkan anak bermula 1 Januari 2020,” ujarnya.

Sementara itu, Rotary Club Kuching Sentral dipilih sebagai tuan rumah perjumpaan antara kelab daerah 3310 Pan Borneo edisi ke-32. Lebih 120 ahli Rotary Club dari Semenanjung Malaysia, Brunei dan Singapura menghadiri perjumpaan tersebut.