Jangan pertikaikan keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri

0
3
Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Semua pihak perlu menghentikan pertikaian politik selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 bukan saja bagi memperkukuh perpaduan nasional, tetapi juga melakukan rekonsiliasi nasional.

Menurut bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Tan Sri Annuar Musa, usaha juga perlu untuk membentuk sebuah kerajaan yang mampu menunaikan tugas dan berkhidmat kepada rakyat dan negara.

“Tumpuan sekarang adalah untuk membentuk sebuah kerajaan yang mampu menunaikan tugas dan berkhidmat untuk rakyat dan negara, jadi kita perlu perpaduan nasional serta rekonsiliasi nasional.

“Justeru sekarang juga adalah masa untuk menghentikan pertikaian, memperkasakan muafakat dan kerjasama,” katanya di Facebook, hari ini.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu menegaskan, pelantikan Anwar tidak wajar dipertikaikan kerana proses pelantikan sudah selesai dan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantik Perdana Menteri yang pada hemat baginda mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

jelasnya, menerusi suatu proses pemulihan, ia bukan saja dapat membangkitkan semula keutuhan dan kekuatan negara serta bangsa, tetapi mampu mendepani cabaran ekonomi, sosial dan politik global yang kian mencabar.

“Marilah kita bersama mendoakan supaya 221 ahli Parlimen yang terpilih itu akan menunaikan tanggungjawab mereka sebaik mungkin.

“Semoga Parlimen Malaysia menjadi tempat suburnya amalan demokrasi berparlimen negara kita dengan nilai dan etika anggotanya yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Malaysia.

Selamat bersidang,” katanya lagi.