Jangan jadi gunting dalam lipatan

0
4
MOHAMAD DURI melawat anggota polis di Balai Polis Saratok

SARATOK: Kakitangan kerajaan digesa supaya tidak menjadi gunting dalam lipatan yang boleh melemahkan sesebuah agensi.

Adun Kalaka, Mohamad Duri berkata, mereka sepatutnya memainkan peranan menyebar luas dasar kerajaan kepada rakyat.

“Apabila ada yang mengambil mudah perkara ini, tanggungjawab sebagai penjawat awam tidak dilaksanakan dengan baik dan ia amat merugikan.

“Kita perlu bergerak sehaluan dan fokus memberi perkhidmatan terbaik,” katanya. Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan ringkas ke Balai Polis Saratok di sini, semalam.

Bagaimanapun beliau mengakui agensi kerajaan di Saratok memainkan peranan besar dalam menyebarkan dasar kerajaan dan memacu pembangunan.

“Sebab itu, hampir setahun bergelar wakil rakyat aktiviti rutin saya berjumpa penjawat awam.

“Alhamdulillah saya kerap ke sekolah, hospital, agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Saratok (MDS) dan Pejabat Daerah Saratok,” ujarnya.

Mohamad dalam pada itu juga mengharapkan rakyat memberi kerjasama kepada penjawat awam bagi melancarkan tugasan mereka. “Antara rakyat, agensi kerajaan dan wakil rakyat, kita harus mempunyai sinergi,” jelasnya.