Ismail Sabri: Tidak benar perbelanjaan kerajaan tidak direkodkan

0
2
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan dakwaan bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun kerajaan dari tahun 2020 hingga 2022 adalah tidak benar.

Menurut beliau, semua perbelanjaan kerajaan yang berkaitan  direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan.

“Berhubung dengan komen bahawa pakej rangsangan tidak direkodkan dalam akaun Kerajaan dari tahun 2020 – 2022, saya ingin menegaskan bahawa dakwaan ini tidak benar dan kesemua perbelanjaan Kerajaan yang berkaitan telah direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan,” kata Naib Presiden Umno itu di Facebooknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata demikian mengulas dakwaan seorang pengguna Twitter kononnya perbelanjaan berjumlah RM620 bilion bermula tahun 2020 hingga 2022 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak direkod.

“Nilai keseluruhan lapan pakej rangsangan adalah RM530 bilion yang mana sebahagian besar tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan (seperti moratorium pinjaman oleh bank).

“Perbelanjaan langsung kerajaan hanya sebanyak RM110 bilion dan peruntukan tersebut telah pun diluluskan Parlimen sebulat suara,” katanya.

Ismail Sabri menerajui pentadbiran kerajaan sebagai Perdana Menteri kesembilan pada 23 Ogos tahun lalu