Fadillah untuk jawatan TPM?

0
3
Datuk Seri Fadillah Yusof

KUCHING: Nama Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof antara nama yang disebut-sebut untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Ia selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini menyatakan dua timbalannya bakal diisi oleh wakil dari Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Fadillah dilihat tokoh yang paling sesuai dan layak untuk bergandingan dengan Anwar menerajui tampuk kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan dari blok Borneo.

Malah bekas Menteri Kanan Kerja Raya dilihat lebih berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini dan pernah menyandang portfolio Timbalan Menteri Sains dan Teknologi Inovasi pada 2008.

Antara lain, berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya pada 2013 semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Selepas itu, beliau kembali menjawat jawatan sama namun diangkat sebagai Menteri Kanan Kerja Raya di bawah dua perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, keputusan akhir terletak pada prerogatif Perdana Menteri untuk melantik siapa ke jawatan nombor dua itu.

Untuk GPS, setakat ini Fadillah yang paling layak sebagai wakil Borneo di samping melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Whip GPS di Dewan Rakyat sejak kekalahan BN pada 2018.