60 permohonan dokumen sementara individu tanpa warga di Sarawak

0
3
BERCAKAP… Fatimah bercakap pada sidang media sempena penyerahan taraf Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A (Kes Anak Angkat) di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, di sini, hari ini. (F:RAMIDI)

KUCHING: Sebanyak 60 permohonan telah diterima di bawah inisiatif Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) setakat semalam.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata permohonan tersebut telah dibuka dalam tempoh sebulan iaitu bermula pada 1 hingga 29 November.

Menurutnya, permohonan melibatkan DSITKS itu juga boleh dibuat di kementerian atau melalui Pejabat Daerah yang terdekat.

BERCAKAP… Fatimah bercakap pada sidang media sempena penyerahan taraf Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A (Kes Anak Angkat) di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, di sini, hari ini. (F:RAMIDI)

“Perkara tersebut penting untuk memastikan permohonan yang dimajukan itu lengkap dan memenuhi syarat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penyerahan taraf Kewarganegaraan di bawah Perkara 15A (Kes Anak Angkat) di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, di sini, hari ini.

Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk mengeluarkan dokumen sementara kepada individu atau kanak-kanak tanpa kewarganegaraan berumur 21 tahun ke bawah yang lahir di Sarawak.

Poster mengenai DSITKS.

Dokumen itu juga untuk memudahkan pemegangnya memperoleh akses kepada pendidikan dan kesihatan di Sarawak, dan bukan dokumen kewarganegaraan Malaysia.

Ia juga tidak memberi hak atau janji untuk pemberian kewarganegaraan Malaysia kepada pemegangnya.

Tempoh sah laku DSITKS adalah selama dua tahun dari tarikh kelulusan permohonan bagaimanapun, permohonan perlanjutan boleh dilakukan sekiranya pemegang masih belum memperoleh kewarganegaraan.