363 sekolah daif siap dibina, lebih 600 sedang dibaik pulih

0
3
Sagah (dua kiri) bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee (kiri) dan Datuk Francis Harden Hollis membaca ucapan pengulungan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat pada persidangan DUN, hari ini.

KUCHING: Sebanyak 363 sekolah daif di seluruh Sarawak telah siap dibaik pulih sehingga kini.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, lebih 600 buah sekolah lagi sedang dibaik pulih dan dalam lakaran Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Terdapat sekolah yang dibaik pulih belum ditender kerana JKR perlu melihat kepada pelbagai fasiliti yang perlu dibaik pulih selain karenah birokratrik.

“Ada juga di kawasan yang berkaitan memilih untuk berpindah terutamanya di tempat yang kena banjir,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sagah memberitahu, beberapa buah sekolah daif juga mengambil masa untuk dibina berikutan pemindahan ke lokasi baharu.

Malah katanya, ia perlu melibatkan agensi yang lain seperti Jabatan Tanah dan Survei dan Perbendaharaan Persekutuan yang memerlukan ia di bawah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

“Ketika ini, kesemuanya tertakluk kepada pelbagai peratutan yang memerlukan perkara yang perlu dilakukan sebelum membina sebuah sekolah,” katanya.

Dalam penggulungan sebelum ini, beliau berkata, kementeriannya akan memastikan perkara yang berkaitan seperti sekolah daif, fasiliti dan kemudahan, penempatan dan pembinaan baharu sekolah akan dibawa perhatian dan pertimbahan Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kami akan meneruskan perkara tersebut sehingga ia diselesaikan,” katanya.