Syarikat penerbangan Sarawak tidak berasaskan keuntungan

0
3
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING: Syarikat penerbangan Sarawak tidak bermotifkan keuntungan semata-mata sebaliknya ia sebagai akses perkhidmatan untuk membawa pelabur dan pengunjung untuk masuk ke Sarawak.

Menurut Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg,  syarikat penerbangan milik penuh Kerajaan Negeri itu mempunyai model perniagaan unik tanpa meniru model Malaysia Airlines ( MAS) mahupun syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia.

“Syarikat penerbangan tersebut mereka mahukan  keuntungan tetapi  kita tidak.Asalkan kita boleh pulang modal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Amal DUBS di Pusat Konvensyen Borneo ( BCCK) malam tadi.

Tambah Abang Johari, Sarawak kini merupakan salah satu destinasi pelancongan perubatan utama.

Penubuhan syarikat penerbangan itu diyakini akan membantu membawa lebih ramai pelawat yang memerlukan akses perkhidmatan penerbangan dari Hong Kong, Bali, Singapura, Bangkok, Japan dan India yang mengambil masa selama 6 jam untuk tiba di Sarawak.

“Ada yang bertanya kepada saya mengapa kita perlu bina syarikat penerbangan, pada hemat saya ia merupakan infrastruktur utama yang kita patut bina seperti jalan raya.

“Kita bina jalan raya kita tidak soal mengapa kita bina jalan raya tersebut tetapi kita cakap berkenaan dengan manfaat yang diperolehi disebabkan oleh akses tersebut.

“Sama juga dengan syarikat penerbangan butik ini. jadi model perniagaan dan ekonomi kita amat berlainan sedikit,” tambahnya.