Siapa harus ada dalam kabinet Anwar?

0
4
Datuk Seri Anwar Ibrahim

AKHIRNYA, terdapat pengakhiran manis kepada gejolak dan gelegak politik selepas lima hari tiada tanda siapa bakal membentuk kerajaan.

Untuk pertama kali, 33 juta rakyat Malaysia mengalami parlimen tergantung sesudah tiada gabungan meraih majoriti 112 kerusi di sebalik dakwaan mampu berbuat demikian sebelum PRU-15 oleh PH, PN dan BN.

Justeru, tawar-menawar rancak dan drama politik terhidang ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu yakin menyatakan PN dengan bantuan parti lain bakal menubuhkan kerajaan pada awal pagi Ahad lalu.

Plot dan subplot dengan adegan politik menarik ditayangkan oleh aktor politik berlaku.

Kita menyaksikan adegan dan episod yang mendebarkan dan mencemaskan, penuh teka-teki dan spekulasi.

Namun, Anwar selepas mengharungi perjalanan panjang berliku selama 40 tahun sejak muncul sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada 1982, dinobatkan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Itu berlaku selepas saranan Yang di-Pertuan Agong supaya dibentuk kerajaan perpaduan.

PN pula berada di pihak pembangkang sekali gus memainkan peranan semak dan imbang sesuai prinsip demokrasi berparlimen.

Kerajaan perpaduan punya beberapa kelebihan termasuk bersikap inklusif, stabil, memiliki adunan pemimpin pelbagai bakat dan latar belakang serta dan mampu mengelakkan politiking melampau.

Tidak disangkal kerajaan perpaduan juga punya kelemahan termasuk kemungkinan sukar mencari titik persamaan di sebalik ideologi dan dasar parti yang pelbagai.

Bagi rakyat, mereka hanya mahu kerajaan perpaduan yang bersatu padu, memiliki persefahaman, berfungsi dengan baik, efisien, pintar, telus, berintegriti, berjiwa rakyat dan berjaya menyelesaikan permasalahan dan isu yang dihadapi rakyat termasuk inflasi dan kos sara hidup yang semakin mencekik.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusia 75 tahun, dengan pengalaman politik 40 tahun, pasti mampu menjadi kapten yang hebat.

Kita telah saksikan bagaimana pemimpin yang pernah berada di penjara menjadi Perdana Menteri.

Kita juga menyaksikan bagaimana Perdana Menteri juga masuk ke penjara.

Sebagai tokoh terbilang yang pernah berada di pihak kerajaan dan pembangkang sebelumnya, Anwar pasti punya hati dan fikiran yang lebih baik untuk memahami apa-apa yang terbaik untuk rakyat.

Anwar tentu dapat memetik mutiara iktibar dan kearifan daripada pengalaman itu untuk kebaikan dirinya, kerajaan dan negara.

Sesuai dengan asas perjuangannya untuk mereformasi negara dan selari dengan ‘keadilan’ yang terdapat dalam nama parti yang diterajuinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR), maka kita mengharapkan beliau dapat melakukan mereformasi total dan berkesan secara adil.

Ya, beliau perlu mentransformasi dan mengubah sistem, instrumen, struktur dan dasar yang ada di negara ini ke arah yang lebih baik.

Juga, tentunya dengan sikap yang adil, tanpa mengira ideologi politik, kaum, wilayah, gender, puak dan sebagainya.

Ini semua demi kemajuan, pembangunan dan kemakmuran rakyat dan negara keseluruhannya.

Ini sahaja strategi dan ramuan terbaik untuk membawa Malaysia ke hadapan supaya dapat berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

Kita mahu kabinet yang terdiri daripada barisan pemimpin yang pintar, berkelayakan, berpengalaman, profesional, teknokrat, mahir, berbakat, memiliki sifat unggul kepimpinan dan rajin.

Singkatnya, kita mahu kabinet yang ada kelas kalau tidak pun berkelas dunia.

Biarlah kabinet ini dalam lingkungan 25 menteri.

Ya, kabinet yang bersaiz sederhana dan tidak terlalu boyot seperti sebelumnya.

Tampilkan mereka yang benar-benar mampu dan berupaya melonjakkan kementerian dan negara ke hadapan.

Juga, pintar mengemukakan dasar terbaik dan berupaya menangani masalah rakyat dan negara.

Kita tidak mahu adanya kayu mati dalam kabinet.

Kita tentu tidak mahu mereka yang hanya menjadi liabiliti atau beban kepada Perdana Menteri dan negara.

Kita tidak mahu pemimpin yang jelas tidak layak, tidak mampu serta tidak ada wibawa dan integriti.

Biarlah kabinet ini dihormati oleh rakyat, rantau dan dunia.

Kita bukan sekadar hendak mengubati penyakit negara, tetapi mahu imej dan reputasi Malaysia di mata dunia kembali pulih.

Seyogia diingatkan, negara kita mengalami pelbagai penyakit, termasuk kanser politik yang amat berbahaya, salah guna kuasa, ketidakcekapan dan jurang lebar pembangunan.

Juga, kemiskinan, perkauman, kualiti pendidikan yang diragui, peluang pekerjaan, pendapatan yang lambat meningkat dan ekonomi yang tidak begitu berkembang.

Kita perlu ‘reset’ atau menjajarkan semula negara demi kebaikan semua.

Untuk menyelesaikan penyakit berkenaan, kita perlukan barisan doktor pakar.

Justeru, Anwar tidak seharusnya terlalu tegar terikat dengan kuota parti.

Beliau perlu diberi peluang seluas-luasnya untuk membuat penilaian dan pilihan muktamad calon menteri terbaik untuk Malaysia.

Pelantikan ini tentu termasuk pemimpin politik dari Sarawak yang paling layak jadi Timbalan Perdana Menteri seperti yang dijanjikan PH.

Jika kita mahu barisan yang terbaik berada di posisi yang sesuai, maka kita perlu keluar daripada kotak konvensional dalam pemilihan menteri dan timbalannya.

Anwar tidak harus dipaksa atau ditekan. Yang penting sesiapa pun yang dipilih sebenarnya berkhidmat untuk Malaysia, bukannya bekerja semata-mata untuk parti dan negerinya.

Kabinet ini perlu inklusif serta mampu memberi keyakinan kepada rakyat dan dunia bahawa mereka adalah yang terbaik dan paling sesuai.

Pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri jelas telah memberi kesan positif kepada sentimen pasaran di bursa saham dan juga nilai ringgit.

Kita perlu bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara yang stabil, bersatu padu, maju dan makmur, serta dihormati dunia.

Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.