Kamus Mato-Daro bakal diterbitkan

0
3
Timbalan Residen Sarikei, Abang Porkan Budiman hadir merasmikan Majlis Pra Pelancaran Kamus Mato - Daro, di Sarikei, semalam. Kelihatan sama, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai dan ahli jawatankuasa penerbitan kamus.

SARIKEI: Kamus pertama dialek daerah Matu Daro, ‘Kamus Mato-Daro – Bahasa Melayu’ bakal diterbitkan tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Matu-Daro, Raduan Serap berkata, proses menghasilkan manuskrip yang bermula pada 2019 kini sudah selesai sepenuhnya.

Katanya, ia kemudiannya akan diserahkan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia bagi proses penyuntingan, penilaian dan penerbitan.

Timbalan Residen Sarikei, Abang Porkan Budiman hadir merasmikan Majlis Pra Pelancaran Kamus Mato – Daro, di Sarikei, semalam. Kelihatan sama, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai dan ahli jawatankuasa penerbitan kamus.

“Usaha ini mengambil masa yang panjang dan kita juga terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran. Kita dari kelompok daerah yang agak luar biasa.

Ini kerana Matu itu sendiri pun sudah ada beberapa lenggok bahasa, di Daro pun sama, begitu juga dengan di Pulau Bruit.

“Pada masa yang sama, kita juga terpaksa memanggil pewakilan dari Matu dan Daro untuk berkumpul dan berbincang bersama-sama,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pra Pelancaran Kamus Matu-Daro, di Dewan Suarah di sini, semalam.

Menurut Raduan, projek dijayakan bersama Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melayu Sarawak yang dianggotai pertubuhan Graduan Pulau Bruit, Persatuan Graduan Matu, Persatuan Melanau Matu Daro Sarikei dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Beliau berkata, manuskrip itu mempunyai sebanyak 790 muka surat, meliputi 5,138 kata dasar dan 3,136 kata terbitan.

Walaupun mencabar katanya, proses itu akhirnya berjaya diselesaikan hasil komitmen pady ahli persatuan, wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan komuniti setempat.

“Kita berharap hasrat untuk menerbitkan kamus ini menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu.

Tanpa kerjasama mereka, tidak mungkin kita dapat melakukannya,” katanya.