Axiata catat kerugian RM52.40 juta

0
3

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM52.40 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2022 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM349.56 juta dalam tempoh sama pada tahun lepas, sebahagian besarnya berikutan kerugian pertukaran asing (forex) yang ketara sebanyak RM346.7 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, katanya kerugian itu juga disebabkan susut nilai dan pelunasan yang tinggi, bayaran tambahan sekali sahaja dan penalti yang dikenakan pada suku tahun semasa untuk penggunaan peralatan gelombang mikro pada tahuntahun sebelumnya berjumlah RM151.6 juta dicatatkan oleh operasi mudah alih di Kemboja, kos kewangan dan cukai yang lebih tinggi, tetapi sebahagiannya diimbangi oleh hasil yang lebih tinggi.

Perolehan pada suku ketiga naik 11 peratus kepada RM7.26 bilion daripada RM6.54 bilion sebelum ini, manakala pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 12 peratus kepada RM3.20 bilion.

Perolehan bagi Malaysia meningkat 5.4 peratus kepada RM1.68 bilion, sebahagian besarnya didorong oleh prestasi prabayar yang lebih baik, jualan peranti yang lebih tinggi dan sumbangan daripada anak syarikat baharu, Infront Malaysia dan Bridgenet Solutions.

Sementara itu, perolehan bagi operasi di Indonesia, Bangladesh dan Kemboja, masing-masing meningkat kepada RM2.25 bilion, RM1.03 bilion dan RM455.9 juta manakala perolehan bagi Sri Lanka dan Nepal, masing-masing merosot kepada RM575.4 juta dan RM343.1 juta.

Dalam kenyataan berasingan, Axiata berkata ia mencapai jumlah penjimatan sebanyak RM1.20 bilion melalui perbelanjaan modal sebanyak RM755 juta dan perbelanjaan operasi sebanyak RM490 juta dalam memberikan kecemerlangan kos.

“Lembaran imbangan kumpulan mencerminkan strategi pertumbuhannya, dengan peningkatan sementara hutang kasar atau EBITDA berikutan pembiayaan untuk pengambilalihan Link Net dan pembelian menara di Filipina.

“Ini akan kembali normal berikutan hasil daripada penggabungan dan pengambilalihan (M&A) yang telah selesai digunakan untuk mengurangkan hutang dan impak penuh EBITDA daripada pengambilalihan disatukan.

Baki tunai sebanyak RM7.7 bilion,” katanya. Berdasarkan prestasi operasinya yang kukuh, Axiata mengisytiharkan dividen satu peringkat dikecualikan cukai sebanyak lima sen pada suku ketiga 2022.

Pengerusi Axiata Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata momentum kumpulan yang berterusan pada suku tahun tersebut didorong oleh prestasi operasi yang kukuh dan peningkatan kumpulan untuk kekal.