Sudah dikemuka untuk pelaksanaan

0
2
DR ABDUL Rahman meneliti dokumen semasa hadir pada Persidangan Dun Sarawak, semalam.

KUCHING: Cadangan penyambungan paip retikulasi di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) kawasan Kapit, Song, Kanowit telah dikemukakan ke Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk pelaksanaan.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek tersebut akan dilaksanakan di bawah Rancangan Boleh Pinda (Rolling Plan) 3, tahun 2023 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) melibatkan kos RM149 juta.

“Bagi BALB kawasan Kapit, Song, Kanowit di Bahagian Kapit, antara komponen kerja akan dilaksanakan KPLB termasuk pemasangan paip-paip MSCL bersaiz 500mm sepanjang 70 km. “Turut dibina adalah tangki aras tinggi, sebuah stesen pam penggalak baharu dan kerja-kerja berkaitan,” katanya.

Adun Pantai Damai itu berkata demikian menjawab soalan Adun Katibas, Lidam Assan mengenai status pembinaan loji rawatan air serta kerja berkaitan di Daerah Song pada Persidangan Dun di sini, semalam.

Sementara itu, mengenai Loji Rawatan Air (LRA) Song, Dr Abdul Rahman memberitahu, cadangan bina baharu itu telah dikemukakan untuk pelaksanaan di bawah RMK-12.

“Skop pembinaan loji baharu yang berkapasiti 20 juta liter sehari (JLH) itu termasuk pembinaan sebuah tangki aras tinggi, muka sauk air mentah, tangki takungan air, stesen pam penggalak, dan pemasangan saluran paip “Projek yang melibatkan kos RM80 juta ini apabila siap kelak dijangka memberi manfaat kepada 1,895 isi rumah di Daerah Song dan Katibas,” tambahnya.