Senarai anggota Kabinet Persekutuan akan diketahui dalam masa terdekat

0
4
Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA: Perbincangan mengenai Jemaah Menteri masih berjalan dan cadangan akan mula diperoleh dalam masa beberapa hari lagi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas mengenai perkara itu, Anwar berkata ia akan mengambil masa untuk membentuk Kabinet dan perlu dibincang bersama rakan gabungan lain.

“Sudah pasti ia akan mengambil masa (pembentukan Kabinet).

Saya perlu bincang dengan rakan gabungan dalam Pakatan Harapan (PH) dan tiga parti lain dan GPS (Gabungan Parti Sarawak).

“Kita ada mesyuarat yang baik dengan Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam di rumah saya dan saya sudah bercakap dengan wakil Barisan Nasional dan mereka juga ada jawatankuasa kerja dan ada beberapa cadangan.

“Kemudian saya akan berjumpa dengan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) bersama Datuk Seri Hajiji Noor dan saya juga akan bincang dengan Warisan (Parti Warisan Sabah),” katanya.

Anwar dalam kenyataannya berkata hubungan antara Kerajaan Pusat dan Sarawak akan lebih akrab serta diperkukuh dalam perancangan melakar sebuah negara yang baik dan berketrampilan.

Beliau berkata, GPS yang dipimpin Pengerusi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadi antara tonggak membentuk Kerajaan Perpaduan yang dikemudinya.

Menerusi hantaran di laman Facebook dan Twitter beliau pada Sabtu, Anwar berkata beliau menerima kunjungan Premier Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di kediamannya.