Potensi kawasan agropelancongan

0
2
Datuk Dr Abdul Rahman Ismail

KUCHING: Beberapa perkhidmatan dan produk pertanian di kawasan wilayah utara Sarawak terutamanya Miri berpotensi untuk dibangunkan sebagai agropelancongan.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa produk yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan di kawasan tersebut.

“Ia merangkumi pelbagai produk pertanian dan makanan yang boleh dipromosikan menerusi beberapa festival berkaitan seperti Pesta Nukenen Bario, Pesta Bebulang dan Lumba Kerbau Limbang serta banyak lagi.

“Selain itu, pembangunan taman agro, penternakan dan pertanian juga giat dilaksanakan di kawasan utara Sarawak, sekali gus menjadi pemangkin industri agropelancongan di negeri ini,” ujarnya.

Adun Bukit Kota itu berkata demikian menjawab soalan Adun Pujut Adam Yii mengenai usaha kementeriannya untuk menjadikan Miri sebagai hab makanan Sarawak pada Persidangan Dun Sarawak, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Dr Abdul Rahman memberitahu, pihaknya juga telah merangka beberapa strategi dan inisiatif untuk menjadikan Miri sebagai hab makanan termasuk membangunkan taman agro dan memperluas Zon Pengeluaran Makanan Kekal bagi menghasilkan tanaman bernilai tinggi seperti kelapa, kopi, pisang, sayur-sayuran, rempah ratus dan herba.

“Kerajaan Sarawak juga giat melaksanakan aktiviti pertanian berskala komersil melalui model Perkongsian Awam-Swasta dan Komuniti yang menggalakkan pertanian kontrak dan pemasaran.

“Di samping memperkukuh dan membangunkan rantaian bekalan agromakanan yang lengkap,” jelasnya.

Menjawab mengenai potensi pertanian di Pujut, Dr Abdul Rahman berkata, memandangkan kawasan tersebut di pusat bandar, ia lebih sesuai untuk tanaman fertigasi dan hidroponik bagi penghasilan produk pertanian bernilai tinggi seperti cili, tomato, salad dan rock melon