Perkasa budaya membaca

0
4
ROLAND SAGAH menyempurnakan Pesta Buku Kuching 2022 di Pustaka Negeri Sarawak semalam.

KUCHING: Pemerkasaan budaya membaca dan pendidikan mampu merealisasikan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca- Covid-19 (PCDS) 2030.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha itu harus dipupuk setiap masa dengan pendedahan awal kepada generasi muda.

“Untuk memperolehi dan mengamalkan nilai positif ini, penting untuk kita membudayakan amalan membaca.

“Budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayatlah satu-satunya ikhtiar yang boleh kita lakukan untuk mencapai objektif PCDS2030,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika merasmikan Pesta Buku Kuching 2022 di Pustaka Negeri Sarawak di sini semalam.

Roland menyokong sepenuhnya usaha murni dalam menggalakkan masyarakat Sarawak tidak kira umur, latar belakang sosial dan ekonomi untuk terlibat dalam penulisan dan menerbitkan bahan bacaan.

Katanya, ia selaras dengan usaha kerajaan untuk melahirkan lebih ramai modal insan yang berpengetahuan. “Pembudayaan ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat ini harus ditingkatkan semua pihak di semua agensi yang bertanggungjawab demi mencapai aspirasi Sarawak ke arah negeri maju menjelang 2030,” katanya.