Kabinet Persekutuan perlu bertunjangkan prinsip madani

0
2

KUCHING: Pembentukan barisan kabinet Kerajaan Persekutuan wajar bertunjangkan prinsip negara madani bukan semata-mata populariti sesebuah parti.

Prinsip yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bersifat inklusif serta telah diseimbangkan kepada sosio ekonomi semasa dialami rakyat dan negara.

Pakar ekonomi dan keusahawanan, dr moslem anoar percaya, antara kemuncak utama kepada pentadbiran berkesan adalah melantik menteri yang mempunyai kearifan tinggi, cakna serta progresif dalam kementerian yang diterajui.

“Kalau kita bandingkan rakyat dan pemimpin di Amerika Syarikat contohnya, mereka ada 300 juta lebih rakyat, tetapi Kabinet mereka tidak sampai 70 orang.

“Tetapi apa yang penting adalah keberkesanan, sebab itu pelantikan tidak semestinya berdasarkan apa yang Datuk Seri Anwar cakap pagi tadi berdasarkan populariti tetapi lebih kepada prinsip,” katanya.

Tambah Moslem, dalam tempoh jangka panjang kerajaan boleh mengusulkan sebuah Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengelakkan mana-mana ahli politik dilantik sebagai ketua di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Jelasnya, landskap serta polisi ekonomi yang bebas campur tangan politik adalah magnet terbaik untuk menarik keyakinan pelabur asing  sekali gus menjadi nilai tambah kepada rekod negara dalam pasaran global.

“Anda perlu seimbangkan, pertamanya kita perlu bentang RUU dari sekarang, mana-mana penjawat awam baik di peringkat kerajaan ataupun ahli politik tidak boleh terlibat atau mengetuai GLC, biarlah orang yang pakar dalam bidang itu terlibat.

“Maka kalau perkara itu dapat dilaksanakan insha Allah tidak ada ruang untuk ahli politik menggunakan kuasa mereka untuk mengaut keuntungan.

“Sekiranya benda itu dihebahkan kepada masyarakat umum, dan seterusnya dunia, ia akan menarik keyakinan dari pelabur semakin kuat,” katanya ketika ditemui di Kuching pada Ahad.