Fokus kos sara hidup

0
2
LAUTAN MANUSIA... Anwar Ibrahim diserbu jemaah selepas menunaikan solat Jumaat bersama hampir 3,000 jemaah di Masjid Putra semalam. Bernama

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mula menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri semalam, menegaskan isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan perpaduan pimpinannya bagi mengurangkan beban rakyat sekarang ini.

Beliau berkata satu pertemuan dengan agensi dan jabatan berkaitan akan diadakan selewat- lewatnya Isnin nanti bagi membincangkan isu kos sara hidup termasuk harga barang.

“Walau ada (petanda) positif umpamanya dengan kekuatan ringgit dan juga soal bursa saham yang menunjukkan keyakinan kepada pentadbiran kerajaan sekarang.

“Saya rasa, keutamaan itu harus terhadap kos sara hidup iaitu harga barang yang mencengkam dan menekan kehidupan rakyat,” kata beliau pada sidang media pada hari pertamanya di Perdana Putra di sini semalam.

Semalam Anwar bertemu dengan pegawai tertinggi kerajaan, antaranya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Anwar berkata beliau akan merujuk kepada parti-parti terlibat berhubung pembentukan kabinet.

“Parti masing-masing akan mengusulkan nama. Jadi, saya harus berikan pertimbangan sedemikian,” katanya ketika ditanya mengenai pecahan anggota kabinet mengikut parti.

Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri malam kelmarin, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata tiga komponen terbesar yang membentuk kerajaan perpaduan adalah Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata akan mengecilkan saiz kabinet kepada maksimum 25 menteri sahaja berbanding jumlah 31 menteri dalam pentadbiran bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang berbaju Melayu lengkap bersamping itu turut menerima dokumen rasmi pentadbiran kerajaan daripada Mohd Zuki.

Anwar turut menzahirkan keyakinan pegawai-pegawai tinggi kerajaan akan membantu kerajaan pimpinannya menangani kos sara hidup yang melanda negara ketika ini.

“Saya faham Isnin ini cuti awam, kalau mereka (pegawai agensi dan jabatan) agak keberatan saya boleh tangguhkan (pertemuan). “… tetapi saya percaya, komitmen pegawai-pegawai ini mereka faham bahawa tugas utama kita adalah untuk ringankan beban dialami rakyat di peringkat bawah,” kata beliau.

Beliau turut menyatakan kabinet yang akan dibentuknya nanti akan menaikkan kembali martabat Malaysia ke persada antarabangsa.

Anwar, 75, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

Pada sidang media sulungnya sebagai perdana menteri, Anwar menegaskan kerajaan perpaduan yang dibentuk dengan penyertaan beberapa parti akan memastikan kestabilan negara dan ekonomi serta menjunjung semangat Perlembagaan Persekutuan.- Bernama