Dua minggu untuk kementerian siapkan kertas kerja

0
3
Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu untuk kementerian berkaitan menyiapkan kertas kerja berhubung pelbagai isu berkaitan subsidi untuk rakyat.

Menurutnya, kesan subsidi kepada rakyat perlu diperhalusi dan menurut beliau, ia perlu diberikan secara bersasar kerana subsidi diberikan sekarang turut dinikmati golongan kaya dan industri.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2022 di sini pada Ahad, Anwar memberi jaminan subsidi masih akan diberikan kepada rakyat namun beliau mahu ia lebih bersasar.

“Saya tak ada masalah dengan subsidi untuk rakyat (cumanya) itu subsidi harus bersasar, jika tidak harga minyak sebagai contoh, itu dimanfaatkan oleh golongan miskin dan kaya.

“Saya beri tempoh dua minggu untuk mencerakin, menelusuri seluruh implikasi dan bincang dengan sektor swasta, pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya untuk ringankan beban rakyat miskin dan tentunya golongan kaya dan industri tidak harus ambil sama.

“Kemudahan lain, insentif untuk syarikat akan diperbaiki supaya tidak menjadi satu beban kepada mereka kerana mereka sudah biasa dengan subsidi,” katanya pada sidang media tersebut.

Mengambil contoh subsidi tarif elektrik, Ahli Parlimen Tambun itu menganggap ia tidak munasabah kerana subsidi diterima golongan miskin hampir sama dengan golongan kaya.

“Tapi subsidi untuk elektrik akan diteruskan, jadi tiada kebimbangan kepada rakyat.

“Namun, golongan kaya tidak harus memperolehi subsidi ini kerana ia beri kesan kewangan yang besar kepada kerajaan,” ujarnya.

Sementara itu, Anwar menegaskan beliau mengadakan mesyuarat NACCOL dengan segera kerana berpendapat isu kos sara hidup sedang ‘menyeksa’ rakyat pada waktu ini.

“Saya beri tempoh dua minggu dan selepas selesai pembentukan Kabinet, kita dapat meneliti keseluruhan dasar ini.

“Kementerian yang ditugaskan akan sediakan kertas kerja yang kemudian akan dibincang dengan semua termasuk sektor swasta sebelum diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan saya,” katanya.